Iklan

Showing posts with label Hospital Selayang. Show all posts
Showing posts with label Hospital Selayang. Show all posts

Tuesday, 4 September 2012

DIJAHIT HIDUP-HIDUP??

Kalau baca tajuk kat atas tu rasa ngeri tak? Eiii...aku memang tak mau ingat dah pengalaman tu tapi sebab nak berkongsi cerita dan berkongsi rasa, aku terpaksa mengingati semula saat-saat ngeri itu.

Ini adalah sambungan dari entry aku yang sebelum ni. Kan aku dah cakap nak cerita pasal hospital berhantu tu...Jangan suspen pulak! Bukan ada hantu kat hospital tu cuma pengalaman di hospital tu meng'hantu'i fikiran aku selama ni.

Selepas aku dah selamat melahirkan Afif (secara normal & kenalah potong sikit), jadinya terpaksalah dijahit. Sebenarnya lepas meneran tu aku rasa mengantuk dan letih sangat-sangat macam kena dadah (sebab aku lalok macam tak boleh nak fikir apa dah). Sebelum jahit, doktor ada bagi aku suntikan kat dua-dua belah peha aku. Tapi, bila saja jarum jahit mencecah kulit...erkkkk! Apa ni? Aku boleh terasa jarum tu masuk ke dalam kulit aku, lepas tu aku boleh rasa pula doktor tarik benang tu dan benang tu lalu kat kulit aku...ngilu! Aku masih boleh rasa ngilunya.

Doktor cakap kat aku, yang belah dalam ni nak jahit sakit sikit tapi penipu besarlah doktor tu sebab kat mana-mana dia jahit pun aku tetap sakit. Ubat bius tak jalan ke atau doktor ni salah cucuk ubat kat aku ni? Untuk pengetahuan semua, proses dari aku masuk hospital sampai melahirkan semua diuruskan oleh doktor-doktor pelatih sebab UiTM kampus Selayang tu kan ada kursus kedoktoran so bakal-bakal doktornya semua buat praktikal kat hospital tu. (kiranya macam aku dijadikan bahan ujikaji diaorang jugaklah! Ciss...)

Sepanjang tempoh dijahit (rasanya sejam lebih juga) memang aku tak terasa kebas langsung. Maknanya memang aku dijahit hidup-hidup! Cuba korang ambik jarum dan benang dan cuba jahit kulit korang, apa rasanya? Sampaikan aku ketap bibir dan menggeletar tangan-tangan menahan sakit. Doktor tu bukan nak tanya, aku tak rasa ubat bius ke apa, dia boleh marah lak kat aku! Dia kata jangan keraskan badan. Hangguk-hangguk geleng-geleng punya doktor! Dah sakit, macamana aku tak keraskan badan? Memang aku rasa nak naik kaki je sepak muka doktor tu. Aku cakap kat doktor tu, 'sakit doktor...'. Dia boleh pulak jawab, memanglah sakit sikit. Aii...kalau dah bius mana nak rasa sakit doktor oii. Kau bius aku ke tak tadi? (Masa dijahit, suami aku tak dibenarkan berada kat dalam dewan tu. Kalau dia ada, rasa-rasanya dia akan menangis tengok aku menahan sakit tu....)

Lepas aku kena jahit tu, barulah doktor yang betul (bukan pelatih) masuk untuk periksa hasil kerja anak buahnya. Aku terdengar-dengar juga macam doktor tu cakap doktor pelatih yang potong luka aku tu tersalah potong. Macam tersenget sikit ke macamana. Sahlah aku memang menjadi mangsa ujikaji :(

Sebenarnya aku malu nak cakap tapi aku terpaksa cakap jugak...aku menangis waktu tu. Bila mak aku masuk tengok aku menangis, dia ingat aku menangis sebab sakit bersalin. Bersalin tak sakit mak oii, yang sakit tu kena jahit dengan doktor bengong dan belajar tak habis lagi tu (gamaknya!) Lepas tu mulalah mak aku dok berkompromi dengan nurse yang ada kat situ 'ha, sekarang baru tahu macamana sakitnya nak beranak' dan nurse tu pulak menjawab 'jangan melawan mak lagi, susah nak beranakkan kita dulu-dulu.' Adoii, aku takde masa la pulak nak dengar kata-kata perangsang tu pada masa aku tengah menahan perit dan marah pada doktor tadi tu. (Sebenarnya aku ada interview doktor tu tadi. Rupanya dia belum kahwin lagi. Patutlah! Macamana kau nak rasa dan tahu sakitnya kena jahit kalau kau sendiri pun tak kahwin lagi! Memang aku maki dalam hatilah kat doktor tu!) 

Okey, kita lupakan kes jahit-menjahit tu. (Kalau cerita jahit baju nak raya ke, okey la jugak!) Sekarang kita cerita pula lepas dijahit (semasa aku berpantang). Untuk pengetahuan korang semua jugak, luka jahitan aku yang sepatutnya seminggu dah boleh kering dan sembuh, ambik masa sampai sebulan tak sembuh-sembuh! Itu pun aku ke doktor pakar untuk periksa, kalau aku tak periksa, rasanya tak sembuh sampai ke sudah!

Doktor pakar yang check aku tu kata ada lebihan daging terkeluar dari celah-celah jahitan tu, sebab tu luka aku tak kering-kering. Ha??? Sekali lagi aku maki doktor pelatih tu dalam hati (asyik kena maki dengan aku je lah kau doktor pelatih oiii). Doktor pakar tu tanya aku, kenapa tak pergi balik ke hospital tu biar diaorang tahu apa yang diaorang dah buat. Senang je aku jawab, 'saya serik, doktor!'. Betul apa aku jawab tu. Memang aku serik! Kalau aku nak beranak lagi lepas ni, mungkin bukan ke Selayang lagi. Tak fikir lagi hospital mana sebab tak ada tanda-tanda pulak nak mengandung lagi :D

Alkisahnya, luka aku yang tak sembuh tu telah diberi ubat oleh doktor pakar tu untuk mematikan sel-sel daging yang terlebih tu. Maknanya bila sel-sel tu dah mati dan kering nanti, lebihan daging tu akan tertanggal dengan sendiri.

Oh ya, sebenarnya Afif ni dilahirkan tak silap aku 2 hari sebelum Raya Haji. Mula-mula memang cadang nak la letak nama yang mengingatkan kami pada peristiwa tu. Mungkin nak letak Aidil ke (cam nama laki Rita Rudaini la plak), Adha ke (mmm...cam nama laki Ayu Raudhah pulak dah, tak kuasa aku!). Last-last abaikan sajalah nak letak nama tu. Aku suruh suami aku pilih (aku dah siap bagi list nama-nama yang sempat aku googgle, sebab nak harap suami aku memang anak aku tak bernama jawabnya). Dia ambik masa tak lama, terus dia pilih 'Afif'. Dia ingat nak senang sebab pendek tapi kau ingat bini kau ni tak teringin nak menamakan anak dia juga? Jadi, aku pilih 'Muqri' dan 'Muhammad' tu memang aku nak ada pada nama anak aku. So, suami aku memang membebel-bebel sebab nama anak dia panjang. Dia risau anak dia esok tak sempat jawab soalan periksa sebab menulis nama tak habis-habis :D Ada aku kisah?? Pandai-pandai anak akulah esok macamana. Yang penting nama anak aku tu ada makna dan aku suka maknanya.

Sehari lepas raya Haji, Afif kena masuk wad balik sebab kena kuning (jaundis). Aku pun kenalah menginap di hospital tu juga nak menjaga dia. Korang menangis tak kalau anak kena kuning? Aku tak tahu kenapa, mungkin sebab emosi aku bertukar lepas bersalin, aku menangis sebab anak aku tak nak duduk bawah lampu biru tu. Aku bukan apa, aku risau dia tak sembuh sebab doktor kata kuning dia tinggi juga dan kalau naik lagi mungkin akan effect ke otak. Suami aku pula tak boleh duduk temankan aku, lagilah aku sedih sebab aku dahlah penat tak hilang lagi, kena pula menjaga anak aku yang asyik menangis tak berhenti-henti. Asal aku letak bawah lampu biru tu dia menangis, terpaksa aku angkat. Nurse ada nasihatkan aku, biarkan je dia menangis. Kalau anak aku menangis manja-manja tu aku bolehlah biarkan tapi kalau dah dia menangis dan meraung sekuat-kuat hati sampai berombak-ombak dada, takkan aku nak biarkan juga? Dia punya bergelut sampaikan tali pusat dia dah tertanggal dalam hari ke-3 atau ke-4. Sebelum anak aku yang bertukar menjadi biru, baik aku angkat.  

Masa dalam wad NICU tu aku sebenarnya risau jugak sebab aku nak breastfeed anak aku tapi tak ada susu. Terpaksa jugalah bagi susu formula yang disuap menggunakan sudu. Anak aku pun tak minum banyak tapi orang kata baby ni beberapa hari tak minum banyak pun tak apa sebab dalam perut dia masih ada makanan. Walau apa pun, aku tetap menyusukan dia sebab nak stimulate susu aku. Lebih dari 3-4 hari jugalah baru susu badan aku nak ada. Itu pun aku sedar bila tiba-tiba baju yang aku pakai basah. Ingatkan terkena air tumpah, rupa-rupanya susu aku dah keluar. Syukur dan gembira sangatlah!

Beberapa hari juga Afif kena tahan kat wad NICU tu. Dalam wad tu hanya ibu dan bapa yang dibenarkan masuk, so mak aku, kakak aku dan mak mertua aku nak tengok pun memang tak boleh. Bila dah discharge, aku perhatikan kulit anak aku dah bertukar gelap macam terbakar (aku ingatkan tertukar anak dengan anak orang India ke apa). Mungkin kesan dari duduk bawah sinaran lampu biru yang panas tu. Tapi mujur sekarang dia dah tak segelap tu :)  

Fuhh...sebenarnya bukan senang nak menjadi seorang ibukan? Seksa juga. Puas bergelut! Tapi, semua tu hanya ujian kecik dari Allah dan aku bersyukur Tuhan tu masih bagi peluang aku merasai semua tu. Dan bagi yang masih ada ibu, hargailah ibu anda sebaiknya sebab tanpa mereka, anda tak mungkin dapat meneruskan hidup kat atas dunia ni.

LAHIRNYA MUHAMMAD AFIF MUQRI

Sebenarnya hari ni ada benda yang aku nak ceritakan tapi nampaknya entry pasal Afif belum habis lagi, so aku proceed dulu dan nanti-nanti aku ceritakan apa sebenarnya yang aku buat pada tarikh hari ini.
  
Kisah bermula di Hospital Selayang...

MUHAMMAD AFIF MUQRI dilahirkan pada 18/12/2007 di Hospital Selayang. Dia dilahirkan pada waktu Maghrib, lebih kurang pukul 7.21 malam. Berat dia cuma 2.55 kg je tapi alhamdulillah sihat.

Sebenarnya aku dijangka bersalin pada 31/12/2007, betul-betul hujung tahun! Mujur tak bersalin tarikh tu...kalau tak, rugilah anak aku. Kenapa aku kata rugi? Sebabnya, bagi kawan-kawan dia yang lahir awal tahun dapat bermain dan hu..ha..hu..ha dalam tempoh yang lebih lama berbanding dia. Bila umur 7 tahun dah kena masuk sekolah tapi anak aku yang sepatutnya kalau dikira dari segi bulan masih umur 6 tahun tapi dia pun dah kena masuk sekolah juga...macam rugi setahunlah kiranya! Tapi semua tu tak berapa pentinglah sebenarnya (saja nak buat havoc :p)

Pengalaman bersalin ni adalah yang pertama buat aku. Sebelum bersalin aku memang tak tahu macamana sakit yang bakal aku lalui tapi aku taklah pula takut malah excited nak berjumpa dengan putera aku ni. Dengar dari mulut orang, sakitnya nanti macam nak buang air besar tapi tak boleh. Mmm...honestly aku pernah gak lalui pengalaman tu :D

Pada 18/12/2007 tu sebenarnya aku ada check-up kat hospital tapi bertukar menjadi hari aku deliver pula! Sebenarnya aku dapat tanda air ketuban pecah. Masa tu lebih kurang pukul 4 pagi, tengah sedap-sedap aku tidur, tiba-tiba rasa ada air keluar (ingatkan mimpi mandi sungai ke sampai terkencing-kencing). Aku pun bangun nak ke bilik air tapi bila aku berdiri je, menitik-nitik air atas lantai. Aku mula pelik, apsal aku tak rasa nak kencing tapi sampai menceceh-ceceh air ni? Tak pe, aku terus juga ke tandas. Bila aku duduk atas mangkuk tandas tu, air keluar lagi dan banyak juga...non-stop pulak tu. Ini tak boleh jadi!

Aku terus kejutkan suami aku. Aku kata air dah pecah. Suami aku ni pula memanglah zero! Dia memang tak tahu apa-apa pasal orang perempuan ni sebab adik-beradik dia 4 orang semua lelaki! Last-last dia suruh call mak aku dan tanya nak kena buat apa (dalam hati aku kata pergi hospital je lah! Kang terberanak kat situ siapa nak sambut? Tapi aku pun was-was jugak, kena tunggu dulu sampai sakit atau dah boleh pergi hospital?) So, aku dengan muka tak malu pun call mak aku pagi-pagi buta tu.

Mak aku angkat telefon dengan suara orang tengah tidur. Dia marah aku, dia kata pergi hospital terus, jangan tunggu-tunggu! Ha, kan aku dah cakap pergi hospital! (Cakap dalam hati je pun :D) So, memang tak sempat nak mandi bagi wangi-wangi dah pun, terus aku dan suami bersiap ringkas-ringkas dan capai beg baby untuk ke hospital. Dari rumah aku nak ke hospital tu kalau ikutkan waktu yang masih hening tu taklah lama mana, lebih-kurang 20 minit dah boleh sampai (tapi kalau waktu sibuk, 30-45 minit pun boleh cecah).

Sampai hospital lebih kurang pukul 5 pagi. Terus ke dewan bersalin dan mendaftar. Aku masih relaks lagi sebab tak sakit. Kena duduk dulu untuk tunggu doktor periksa laluan baby tu. Biasalah, hospital gomen kan, tunggu tu adalah lebih kurang setengah jam jugak! Aku dahlah letih dan mengantuk. Lepas tu, masuk dalam bilik untuk diperiksa. Doktor yang datang nak periksa aku tu rasanya doktor pelatih sebab muka pun muda je. Dengan muka baru bangun tidur dan mulut Ya Allah! punyalah wanginya, dia datang check aku (mujur aku tak pengsan kat situ) dan pecahkan air ketuban aku. Basahlah kain yang aku pakai tu dan kain itulah yang aku pakai juga sementara nak tunggu masuk wad. 

Lepas periksa tu kena tunggu lagi. Punyalah lama aku duduk menunggu kat situ (kalau bagi katil tak apa jugak!), aku teramatlah mengantuk dan perut pun lapar. Aku tak pasti tunggu apa, rupanya tunggu nak masuk wad. Aku ni dah lenguh pinggang dan terbayang katil je untuk aku baring. Dalam pukul 10 pagi agaknya barulah aku di bawa ke wad (katanya tak ada kosong sebelum ni). Giler lama! dari pukul 5 pagi aku kat situ sampai pukul 10 pagi! 5 jam tu!! Akak dahlah tengah sarat Dek Non oii...Inilah yang aku malas dengan gomen, apa-apa pun mesti nak suruh kita tunggu jugak. Tak kiralah kau sakit nak mampus ke apa ke, tunggu tetap tunggu!   

Aku masuk wad kelas 2. Satu bilik ada 4 katil. Masa aku masuk, sebelah katil aku ada seorang kakak tu dah bersalin dan tunggu nak discharge je. Disebabkan langsir dia tutup, aku cuma dengar baby dia menangis dan dia layan dengkur :D. Tak lama lepas tu suami aku kena halau keluar sebab dah habis waktu melawat. Aduh! Walaupun aku letih nak tidur je tapi aku berharap sangat suami aku ada kat situ menemankan aku tapi tak boleh. 

Tak lama lepas tu, ada seorang lagi cina masuk kat katil depan aku. Cina depan aku ni kena contraction teruk giler. Aku dengarlah dia dok merintih-rintih sambil mak dia dok tolong urut-urut belakang dia. Lepas tu bila dah lama sangat dia dok menangis-nangis tu, laki dia panggil doktor. Bila doktor check baru bukak 1cm, so dia kena marah sebab dok meraung-raung macam tu. Aku? Oh, aku dok melayan nasi hospital dengan sup ayam...ha ha ha! (sampai sekarang aku dok terbayang kehebatan sup ayam tu...org lain msti tak suka makanan hospitalkan? Tapi aku suka sangat!!) Tak tahulah, aku ni sakit tu sakit jugalah. Kadang-kadang sakit tu akan datang menyengat dan aku tahankan je tapi lapar pun lapar jugak. Habislah nasi tu aku kerjakan! Doktor dan nurse siap tanya aku, 'awak ni tak sakit ke?'. Aku kata aku sakit tapi taklah berapa sakit sangat. Mungkin aku pernah kena period pain yang lebih hebat dari sakit ni (sampai berpeluh-peluh, nak pengsan & merengkuk-rengkuk aku dalam selimut). So, contraction pain yang memintal-mintal urat perut aku ni aku rasakan manja-manja je lagi. Cuma bila aku tak tahan sangat, aku akan baring dan cuba tidur.

Sebelum masuk dewan bersalin, wajib kena makan pil untuk keluarkan semua isi perut kita, so tak adalah time kita meneran nanti terkeluar sekali dengan yang tidak sepatutnya! Lepas makan pil tu, automatiklah aku nak ke tandas. Habislah keluar balik nasi dan sup ayam yang aku telan tadi :(

Doktor akan kerap juga datang untuk periksa bukaan kita sampai kita naik tak lalulah nak mengangkang...opss! :p Dan bila laluan aku dah buka ke 6cm tak silap aku, terus aku kena bawak ke dewan bersalin. Dalam pukul 5 ptg jugalah aku ke dewan bersalin. Kat sana sempat lagi suami aku snap gambar aku dok baring atas stretcher yang keras tu.

Entah macamana pula tiba-tiba tekanan darah aku naik tinggi masa kat dalam dewan tu. Doktor suruh aku relaks, jangan takut tapi masalahnya aku tak takut pun, tak stress pun. Kenapa tiba-tiba boleh darah naik tinggi? So, terpaksalah aku telan sebiji pil nak stabilkan dulu tekanan darah aku. Kalau tekanan darah tinggi gak, camna nak bersalin nanti? Tak lama lepas tu alhamdulillah semua back to normal.

Kat tangan aku dah dicucuk jarum untuk masukkan air dan nurse tanya nak ambil epidural ke? Aku tak nak sebab aku rasa tak sakit sangat tapi suami aku dah tercakap nak so, kenalah juga ambil epidural tu tapi aku tak ingat aku disuntik tang mana...(maklumlah urat dah banyak putus).

Tak silap aku lepas-lepas ambil epidural tu yang aku terus rasa perut aku dok berombak-ombak. Memang betul ada rasa nak buang air besar tapi macam keras dan tak mau keluar. So, aku dah tak boleh duduk diam, aku meronta-ronta kat situ. Terus suami aku panggil nurse dan doktor. Bila doktor periksa, dah buka 10cm terus dia suruh aku teran.  

Banyak kali juga aku meneran tapi tak juga boleh-boleh. Sebenarnya cina depan katil aku tu dah masuk dewan bersalin juga. Dia bersalin awal dari aku. Aku sempat dengar dia meneran nak bersalin...macam senang je! Bila time aku, susah pula! So mungkin bagi yang sakit sebelum bersalin, akan mudah meneran dan yang tak sakit ni susah sikit nak meneran? Wallahualam! Aku dah kena marah dengan nurse sebab dok jerit (bukan jerit melalak tu, cuma suara aku meneran tu ala-ala nyaring sket :D) dan sebab aku dok tarik nafas masa meneran. Ada aku kisah? Aku dah semput, mestilah aku nak bernafas...ha ha ha!

Tapi, syukur, akhirnya lahir juga putera aku. Bila Afif keluar je, dan nurse hulur kat aku, aku cium dahi dia yang masih sejuk. Pertama sekali aku nak tengok macamana rupa anak aku dan mata aku terus tertancap kat hidung dia yang penyek & kembang macam hidung aku. Adoii! Awatlah hang tak ikut hidung pak hang hat tinggi tu Afif oii?? Tak apa, itu semua tak penting, yang penting anak aku sempurna dan sihat.

Next entry aku akan cerita peristiwa ngeri yang aku lalui di hospital berhantu ni yang membuatkan aku serik nak beranak kat sini lagi...next entry ok!         

CORETAN YANG LALU

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...