Iklan

Thursday 24 December 2015

AL-FATIHAH...PEMERGIANMU DITANGISI

Arwah Baba tersayang...Abidin Bin Ariffin
5/12/1951 - 24/12/2015




Seorang Baba yang baik penuh dengan jenaka & suka bergurau.



Seorang Baba & atok yang amat menyayangi anak-anak & cucu-cucunya.

Tahun 2014 di Majlis Penyampaian Hadiah Afif

Tahun 2015 di Majlis Penyampaian Hadiah Afif. Sebulan lebih sebelum arwah meninggalkan kami.



Seorang atok yang amat melindungi cucu-cucunya.

Inilah gambar raya terakhir arwah pada 2015. 


Percutian sekeluarga Di Johor 2014.
Kami amat merinduimu Baba. 

20/12/2015 (AHAD) Kita sekeluarga sama-sama bertolak ke Melaka untuk percutian sekeluarga. Baba orang yang paling excited nak buat percutian ni. Plan pun last minit tapi Alhamdulillah menjadi. Penginapan pun ada walaupun waktu2 cuti persekolahan ni kebanyakan tempat memang packed. Anak2 & cucu semua pun ikut. Tak ada halangan langsung dari segi kerja atau apa. Semua lancar je.

22/12/2015 (SELASA) Hari terakhir aku jumpa Baba. Aku tak tahu bahawa itu merupakan hari terakhir aku akan menatap wajah dia. Aku tak tahu bahawa itu hari terakhir aku dapat menyentuh tubuhnya yang masih bermaya...aku tak tahu! aku tak tahu! Kalau aku tahu, aku akan menghabiskan masa seharian suntuk bersama dia, berbual, tenung wajah dia, genggam erat tangan dia tapi...aku tak tahu! Dalam pukul 4 ptg dari Melaka selepas kecewa tak dapat menjamu Baba & Mama asam pedas, kami berpisah menuju ke haluan masing2. Baba terus balik ke KL bersama dengan Mama & adik aku. Aku tak salam pun tangan Baba sebab aku yakin kami akan berjumpa lagi di KL. Sekali lagi, aku tak tahu yang itulah hari terakhir aku boleh salam tangan dia dalam keadaan dia masih bermaya. 

23/12/2015 (RABU) Lepas solat Asar di masjid di Sg.Buloh selepas buat rawatan gigi, aku dapat panggilan dari Along. Waktu tu lebih kurang pukul 5 ptg. Baba hilang tak dapat dikesan katanya. Aku cuba untuk tak panik. Aku cuba fikir positif. Along kata Mama dan semua orang cuba hubungi Baba tapi Baba tak angkat. Berkali-kali tapi tak diangkat. Aku minta Along tunggu sampai malam sikit. Mungkin Baba tak dengar bunyi telefon, mungkin Baba silence kan telefon, mungkin telefon Baba hilang...aku cuba sedapkan hati Along dan hati sendiri juga. Lepas letak telefon fikiran aku turut tak lepas dari berfikir apa yang terjadi kat Baba. Aku cuba telefon pula. Memang betul, ada nada dering tapi panggilan tak berjawab. 2 kali aku cuba tetap sama. Aku mula rasa lain sebab aku teringat waktu solat Asar tadi memang aku tak sedap hati. Aku tak pernah rasa macam tu. Seolah-olah ada benda yang mengganggu fikiran & hati aku waktu tu tapi aku tak tahu apa. Aku tak tahu apa yang aku patut fikirkan waktu tu.

Aku, suami & Afif bercadang singgah makan di sekitar situ bagi meraikan harijadi Afif yang tak sempat kami raikan. Selepas solat Maghrib, adik aku call kata orang jumpa Baba pengsan. Aku bersyukur Baba dah dijumpai tapi aku tak tahu macamana keadaan pengsan yang dimaksudkan tu. Adik2 aku dalam perjalanan untuk ambil Baba. Telefon tak lepas dari tangan aku dah waktu tu. Adik aku call lagi katanya ambulance dah bawa Baba ke Hospital Kuala Lumpur. Baba dimasukkan ke Zon Kritikal Kecemasan. Dengar perkataan Zon Kritikal, aku amat risau. Macamana sebenarnya keadaan baba? Teruk sangatkah? Aku minta suami terus ke sana. Aku orang yang pertama sampai ke bahagian kecemasan Zon Kritikal tu. Aku tengok di kaunter sebelum masuk wad ada IC Baba. Aku tanya kerani kat mana Baba? Kerani tanya hubungan aku dengan Baba sebelum serahkan IC & borang untuk diserahkan ke bahagian dalam. Aku masuk dalam wad kecemasan tu dan terus ke kaunter. Aku serahkan borang dan tanya kat mana Baba sekali lagi. Nurse tunjuk ke arah kanan aku. Bila aku toleh tengok...Ya Allah! Ya Allah! Hancur hati aku waktu tu. Bagai tersiat-siat melihat keadaan Baba. Kalau boleh aku nak Nurse tu silap orang tapi tak...tu memang Baba.

Keadaan Baba sangat kritikal. Aku berjalan menghampiri Baba. Waktu tu aku pun dah terlupa kat mana Afif dan suami aku. Yang aku nampak cuma Baba je. Baba terbaring atas katil besi tu cuma berselimut. Kaki Baba sejuk sangat. Kesian Baba. Aku urut2 kaki Baba, Baba dah tak boleh bergerak. Baba dah tak boleh bercakap. Baba koma! Kalau sejuk pun Baba tak dapat bagitahu. Banyak wayar dipasang kat badan Baba. Banyak juga salur pernafasan dimasukkan ke dalam mulut Baba. Kepala Baba mendongak sukar bernafas. Ya Allah! Kesiannya Baba. Mesti Baba sakit. Dada Baba berombak kencang. Nafas Baba turun naik dengan kuat. Tak dapat aku nak gambarkan macamana keadaan Baba waktu tu tapi memang keadaan dia sangat nazak. Aku tak pernah tengok Baba sakit...tak pernah! Sekali aku tengok, Baba terus kritikal macam ni. Hancur sangat hati aku. Anak apalah aku ni membiarkan Baba sakit seorang diri? Anak apalah aku ni sampaikan aku tak mampu tolong dan buat apa2. Baba jaga aku adik beradik sampai kami besar panjang, tapi kami tak mampu nak jaga Baba seorang sampai Baba jadi macam ni.

Doktor dah bagi penjelasan pada aku tentang Baba. Mereka suspek Baba mengalami Hypertension. Tekanan darah yang terlalu tinggi menyebabkan salur darah kat otak Baba pecah dan Baba mengalami pendarahan otak. Doktor kata waktu sampai, tekanan darah Baba 200 lebih...sangat tinggi. Doktor tanya sejarah penyakit Baba. Aku kata Baba tak sakit apa. Baba memang seorang yang sihat, demam pun jarang tapi kalau sakit pun biasanya dia tak bagitahu sesiapa. Aku buat keputusan untuk telefon Along. Aku minta Along balik dari Johor walaupun sebelum ni aku larang dia balik sebab kami pun baru je balik dari bercuti di Melaka tu. Adik aku yang berada di Penang untuk satu kenduri pun bergegas balik semula ke KL. Alhamdulillah semua anak2 Baba berkumpul. Baba mesti gembira anak2 dia semua ada sebab dia memang suka kalau kami semua dapat berkumpul bersama, dia yang akan riuhkan suasana, dia yang akan mengusik,

Kami berkumpul di hospital menunggu keputusan CT Scan kepala Baba. Sementara tu aku akan curi kesempatan yang ada untuk melihat Baba dari jauh. Bila aku dibenarkan masuk ke wad, aku pergi kat Baba. Aku usap kaki dia, aku usap tangan dia. Kaku! Tak ada tindak balas langsung. Doktor yang bertugas datang kat aku. Dia soal aku serba sedikit pasal Baba. Kemudian dia terangkan kat aku yang pendarahan kat kepala Baba agak besar dan agak merbahaya jugak kalau nak buat operation. Kalau nak buat operation, possibility untuk survive sangat tipis & mungkin akan meninggal di dalam bilik bedah. Kalau tak bedah, keadaan Baba akan macam itu sahaja...koma! Doktor suruh doa banyak2. Perasaan aku hancur luluh waktu tu. Kalau boleh aku berharap semua ni mimpi je atau lakonan & drama semata2. Sebelum ni aku cuma tengok benda2 ni jadi dalam drama, tapi bila jadi pada diri aku sendiri baru aku sedar bukan mudah nak dengar berita macam tu dari mulut seorang doktor. Tapi aku cuba berfikiran positif sekali lagi. Doktor bukan Tuhan. Nyawa seseorang bukan di tangan Doktor. Kalau Allah kata jadi maka terjadilah so segala kemungkinan masih ada. Bila doktor pergi, aku cuba kuat. Aku tak nak menangis. Tapi bila aku rapat ke kepala Baba, aku cium dahi dia. Rasanya itulah pertama kali aku dapat cium dahi dia sejak aku dewasa. Aku rapat ke telinga dia. Aku minta maaf dari dia. Aku cakap yang aku sayangkan dia dan airmata aku tumpah laju, tak dapat aku nak tahan.

Keluar dari wad, aku pergi kat suami. Aku buat macam tak ada apa2 tapi bila aku bagitahu suami yang doktor kata dah tak ada harapan, kolam airmata ni berderai lagi. Suami tarik kepala aku ke bahu dia. Aku menangis sepuas2. Tak ada harapan bukanlah ayat yang aku nak dengar. Bayangkan baru semalam kami bersama, Baba sihat boleh bercakap boleh berjalan boleh ketawa, hari ni tiba2 dia koma, tak bergerak tak berbunyi apa pun. Mata pun tak bukak untuk pandang kami. Aku tak putus2 berdoa dalam hati agar Allah bagi peluang lagi untuk Baba...aku nak jaga Baba. Aku nak jaga dia dengan baik macamana dia jaga kami adik beradik sejak dari kami kecik. Tak pernah menolak apa saja permintaan kami. Tak pernah berkira tentang duit dengan anak-anak. Susah ke senang ke yang penting anak-anak mesti selesa dan dapat apa anak-anak perlukan...itulah Baba. Banyak benda lagi yang aku nak buat untuk Baba tapi tak kesampaian. Maafkan Nanie, Baba.

24/12/2015 (KHAMIS) Baba dah dimasukkan ke wad di Bahagian Neurologi. Keadaan Baba masih sama, tak ada sebarang respon. Kami semua sampai lewat sikit. Adik bongsu aku kata doktor pakar dah melawat pagi tadi dan dah bagitahu Nurse apa yang sepatutnya. Bila adik lelaki aku kata yang Nurse bagitahu Baba dah tak ada harapan, dia menangis. Aku yang dah tahu tentang tu dari semalam pun turut menangis. Kami semua menangis di sisi Baba. Ramai yang mengelilingi katil Baba waktu tu. Adik2 Baba yang jauh dari utara pun datang. Adik2 ipar, anak2 buah, menantu, kawan2 semua ada. Bacaan Yaasin tak putus2 dari sorang2. Aku dah kisah kalau orang tengok aku menangis. Tisu memang lencun dengan air mata. Mama dari tadi di tepi kepala Baba sambil buka bacaan ayat2 Al-Quran dari telefon ke telinga Baba.

Tiba Zohor, kami solat di masjid HKL. Lepas solat aku menangis menadah tangan berdoa agar ada sedikit sinar untuk kami sekeluarga. Perut yang belum diisi pun tak terasa laparnya. Selesai solat kami bergegas ke wad balik. Aku tak lepas dari sisi Baba. Tangan dia aku genggam. Walaupun tak ada tanda Baba nak sedar tapi kami setia kat situ. Lepas solat Asar, adik bongsu aku panggil kami adik beradik untuk berbincang. Katanya Baba memang dah tak ada harapan jadi dia nak buat keputusan bawa Baba balik rumah dan 'lepaskan' Baba di rumah sebab doktor kata kalau cabut alat bantuan pernafasan, mungkin Baba akan pergi sebab Baba dah tak boleh bernafas dengan sendiri maksudnya Baba hanya bergantung dengan alat bantuan pernafasan tu. Kalau nak biarkan Baba kat hospital pun tak tahu sampai bila, mungkin akan menyeksa Baba. Lagipun hari ni hari yang baik, sempena Maulud Nabi, malam Jumaat eloklah Baba dilepaskan pada hari yang baik ni. Serius aku tak tahu nak kata ok atau tidak. Aku buntu! Kenapa aku cuma ada 2 pilihan ni saja yang mana 2-2 tak mampu aku terima.

Akhirnya kami bawa Baba balik. Aku redha. Aku fikirkan yang terbaik untuk Baba. Kalau bukan ajal Baba lagi, bila dicabut alat bantuan pernafasan tu pun mungkin Baba masih ada tapi kalau memang hari ini ajal Baba, maka aku redha Baba pergi dengan tenang walaupun hati masih tak percaya yang semua ni berlaku pada kami. 

Ambulance yang bawa Baba sampai dulu dari aku. Nasib baik aku sempat sampai sebab bila aku masuk je dalam rumah, Baba dah dibaringkan di atas tilam. Afif dan anak buah aku menangis dengan kuat kat sisi Baba sambil panggil 'Atok! Atok!'. Pembantu2 perubatan tu pula tengah sibuk mencabut drip dari tangan Baba. Kemudian bila tiba saat nak cabut alat bantuan pernafasan dari mulut Baba, dia ingatkan bagi siapa yang tak berani tengok supaya jangan tengok. Aku bukan tak berani nak tengok tapi aku tak sampai hati nak tengok jadi aku tak tengok. Bila dah cabut, mereka cuba periksa nadi Baba...malangnya, Baba dah tak ada...................................... Minta maaf abang, katanya pada abang ipar aku. Kami adik beradik menangis lagi. 2 orang adik lelaki aku jugak menangis. Afif datang sebelah aku dan panggil 'Atok! Atok!' sambil menangis. Aku tarik dia, aku peluk dia dan kata kat dia "Atok dah takde". Aku tengok muka Baba puas2, aku cium dahi dia. Baba pergi juga tinggalkan kami. Baba tak sempat nak tengok anak2 Along bersekolah di KL. Along yang sebelum ni duduk di Johor dah dapat bertukar ke KL. Baba la orang yang paling gembira sebab katanya dia nak pimpin tangan cucu berjalan bawak pergi sekolah pagi2. Memang itulah yang dia nak sangat buat bila Along dapat pindah duduk KL tahun depan. Tak kesampaian hajat dia.

Baba tak dapat dikebumikan malam ni. Esok pagi baru urusan pengebumian boleh dibuat. Malam tu aku & adik perempuan aku, kami tidur di sebelah baba. Aku tak nak lepaskan walau sesaat waktu yang ada untuk berada di sisi Baba buat kali terakhir. Kalau boleh aku nak waktu lambat berlalu supaya aku masih ada masa nak tengok muka Baba lagi, nak sentuh & pegang Baba lagi.

25/12/2015 (JUMAAT) Harinya sudah tiba...Baba akan meninggalkan rumah ini, buat selama2nya. Pukul 8 lebih, jenazah Baba dibawa pergi dengan van jenazah. Sebak rasa hati ini melepaskan Baba pergi. Aku dah tak akan berjumpa lagi dengan Baba. Boleh ke aku??  

Kami anak2 & menantu2, Mama, adik2 lelaki Baba semua masuk ke bilik mandi mayat tapi kami anak perempuan tak dibenarkan mandikan mayat sebab terlalu ramai cuma waktu ambilkan wudhu' nanti kami diberi peluang. Waktu orang mandikan Baba, aku hanya tenung wajah Baba puas2. Wajah Baba tenang dan tersenyum. Mungkin Baba dah nampak keindahan alam sana. Kulit Baba mencerah & bersih saja. Along yang bantu ambilkan wudhu' untuk Baba. Aku biarkan Along buat sehingga habis sambil aku berdiri di kepala Baba dan melihat wajahnya dah cukup buat aku. Aku tak nak wajah itu terhapus dari ingatan aku. Aku nak ingat wajah tu sampai bila2. Aku diam perhati sampailah Baba dikafankan. Aku cuba tabahkan hati bahawa perlahan2 nanti aku tak akan dapat nak tengok Baba lagi. Bila hanya tinggal wajah Baba yang dibuka, masing2 diberi peluang untuk mengucup Baba buat kali yang terakhir. Aku tak tahu ni kali ke berapa aku cium dahi Baba tapi aku cium lagi dan aku cium kedua pipi dia juga...Ya Allah! Lepas ni aku dah tak ada peluang nak cium Baba lagi. Aku sempat bisikkan kat telinga Baba, aku minta maaf. Aku minta maaf sebab aku tak mampu nak jaga Baba. Aku minta maaf sebab aku tak dapat buat apa2 sewaktu Baba sakit.

Dalam Pukul 10 pagi solat jenazah dibuat. Memang ramai yang datang dan ada yang muka aku tak kenal pun. Selesai solat, jenazah diusung ke Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan. Mungkin sebab dah banyak sangat menangis, kami dah tak menangis bila Baba dikebumikan. Mungkin itu juga yang Baba nak. Segala urusan Alhamdulillah senang dan cepat. Sebelum pukul 12 tghr semua dah selesai. Kat kubur tadi pun penuh, memang ramai sangat yang menghantar arwah. Selepas Solat Jumaat pun bila Imam umumkan nak adakan tahlil buat arwah, ramai tak berganjak balik. Masjid penuh, itu yang diceritakan kepada aku. Maha Suci Allah! Sebelum ni arwah selalu mengajak orang ke masjid (arwah ayah saya Bilal Masjid), Allah balas pengorbanan arwah dengan ramai2 mendoakan dia. Syukur sangat.





Antara tanda2 terakhir arwah yang aku perasan tapi tak sedar yang itu merupakan tanda terakhir:

1. Teringat sampai sekarang jawapan Baba pada hari terakhir kami di Melaka bila aku cakap kat dia, tahun depan kita sekeluarga pergi pulau pulak. Arwah balas "Insyaallah, kalau panjang umur." Aku macam terasa lain dengan jawapan arwah. Sebab arwah Baba aku ni bukan orang yang serius, kalau kita bercakap dengan dia atau tanya apa2 kat dia, jawapan dia biasanya mesti diselitkan dengan gurauan tapi kali ni jawapan dia sangat serius & padu, macam dia dah tahu yang umurnya tak panjang. 

2. Sepanjang kat Melaka baju2 dia kebanyakan warna putih. Baju masa bertolak ke Melaka warna putih. Baju masa jalan2 di Melaka hari ke-2 warna putih. Baju masa hari bertolak balik ke KL pun warna putih. Adik aku kata baju yang dia pakai masa hari dia pengsan tu pun warna putih.

3. Masa nak bercuti ke Melaka dia yang beria-ia nak pergi bercuti tapi masa hari terakhir kat sana dia tak sabar2 nak balik KL sampai kami cadang nak singgah lunch bersama2 dulu pun dia tak nak tapi akhirnya dia terpaksa juga ikut.

4. Kat Melaka dia banyak tidur, mungkin badan dia dah rasa lain masa tu.

5. Dia suka berjalan sorang2 dan duduk sorang2.

           







Friday 26 September 2014

EARLY MENOPAUSE??

Mmm...sedih!

Semalam aku mendapat mesej WeChat dari adik perempuan aku. Kami 3 beradik perempuan ada buat satu group di WeChat untuk bersembang hal2 kami aje. Semalam adik aku ada follow up appointment di Ampang Puteri untuk masalah period dia, so sajalah bertanya keputusan ujian darah yang dia dah buat beberapa minggu lepas tu.

Katanya dia tengah sedih. Allah, apa pula keputusan ujian tu yang buat dia sedih? Aku faham situasi dia...sedih, hampa, kecewa mesti tengah menganggu fikiran.

Tengah aku nak korek apakah kesedihan dia boleh pula bateri telefon dia nak habis...ni yang aku hangin ni! Aku dah tengah excited, dia potong stim lak. Tak apalah, aku sabar ajelah. Nanti mesti dia bercerita punya.

Aku memang tunggu je mesej dia. Bila Ipad aku berbunyi terus aku jengah kotak mesej. Alhamdulillah ada mesej dari dia.

Katanya dia sedih sebab daripada blood test yang dibuat tu Doktor assumed dia on early menopause symptom. Allahuakbar! Aku turut terkejut dan bersedih. Umur dia masih muda, baru 32 tahun. Baru berkahwin 10 bulan dan belum pernah merasa pengalaman mengandung, melahirkan dan menjaga anak sendiri.

Tapi aku bagi dia semangat. Aku tanya teman2 dalam grup TTC apa yang boleh dibuat kalau terjadinya perkara macam tu? Alhamdulillah ada juga yang berpengalaman yang sama dan bagi sedikit tips so aku terus sampaikan pada dia. Aku tak nak dia down. Aku tak nak dia putus asa. Aku tak nak hormon dia terganggu lagi.

Aku minta dia cuba macam-macam supplements yang teman2 TTC cadangkan. Aku minta dia cuba pelbagai alternatif lain juga...akupunture, homeopati dan segala yang boleh dicuba. Dia bekerja, dia ada pendapatan mungkin tak ada masalah semua tu berbanding aku yang tak bekerja ni hanya mampu menadah tangan berdoa sahaja.

Adik aku ni sebelum kahwin lagi ada masalah dengan period dia. Katanya setahun mungkin 2-3 kali sahaja dia period, itu pun tak banyak darah yang keluar. Lepas kahwin rasanya baru 2-3 kali juga dia period. Itupun selepas dia makan ubat yang doktor bekalkan.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...kasihanilah Adikku, berikanlah dia peluang untuk menjadi ibu. Berilah dia merasa pengalaman dan nikmatnya menjadi wanita. Berilah dia peluang untuk menjadi isteri yang memenuhi keperluan suami. Ya Allah, murahkanlah rezeki Adikku. Mudahkanlah dia mengandung. Suburkanlah benih2nya dan kurniakanlah dia anak2 yang soleh solehah.

Aku tak maksum yang mana doa aku akan dimakbulkan Allah tetapi aku rasa aku perlu mendoakan dia. Dia adik aku yang terpaling baik. Dialah yang menjaga anak2 buah dan juga anak aku sewaktu mereka masih kecik. Semua anak2 buah kami dan anak aku juga suka pada dia. Walaupun kadang2 dia garang tapi tak pernah ada di antara budak2 tu yang bencikan dia. Dia rajin melayan dan bawa budak2 tu berjalan. Dia suka manjakan budak2 tu dengan membeli macam2. Aku selalu bayangkan macamana agaknya kalau dia ada anak sendiri nanti.

Tapi perancangan Allah tu tak ada siapa yang tahu dan perancangan Allah juga yang terbaik buat hambaNya. Bagi aku, aku dah melaluinya dan dah banyak airmata aku yang mengalir. Buat dia, dia baru nak merasai. Semoga dia tabah dan tak putus2 berdoa.

Ya Allah, sesungguhnya aku tak tahu nak cakap apa. Aku turut bersedih untuk dia.     

Wednesday 24 September 2014

CAMERON HIGHLANDS

Alang2 dah memblog ni, meh aku nak story pasal kisah jalan2 je. 

Kali ni nak cerita pasal Cameron Highlands. Ok, mesti dah ramai yang pernah ke sanakan? Aku is dah banyak kali juga ke sana tapi entahlah, tak pernah rasa puas bila ke sana, mesti rasa nak pergi lagi. 

Kebetulan balik dari beraya hari tu, dalam perjalanan turun dari Kedah ke Kuala Lumpur, aku dan anak sempat pujuk En. Mat Naat untuk singgah ke Cameron Highlands. En. Mat Naat ni memang susah sikit nak diajak bercuti especially bercuti kami anak beranak je. Aku rasa memang tak pernah kot kami pergi bercuti anak beranak saja. Kalau pergi bercuti pun mesti ada orang lain. Ni ke Cameron Highlands ni pun kebetulan ada kawan dia pun nak singgah sana so itu yang dia termakan juga pujuk rayu kami.

Mulanya masa nak balik pagi tu, MIL aku ajak singgah rumah mak saudara En. Mat Naat pun kami takmau sebab kami nak kena singgah Penang pula menziarah pak2 sedara aku kat sana. Lepas Zohor rasanya dah habis sesi menziarah tu dan otw balik tu terus cadangkan kat dia untuk singgah CH.

Pergi CH tak berani nak cerita kat sesiapa sebab kami yang kalut nak balik jugak2 hari Sabtu tu instead hari Ahad sebab bagi alasan takut highway jem...maklumlah balik raya dengan highway jem kan tak dapat dipisahkan. Itu pun salah satu sebab kenapa En. Mat Naat pun termakan pujuk rayu aku, dia tak sanggup stuck dalam jem.

Masa tu tak fikir dah bonet penuh dengan buah2an rambutan, cempedak dan dokong yang MIL aku kirim bawa balik KL. Aku cuma fikir nak bercuti je...hehehe.

Dah petang waktu kami mula naik ke CH dan hujan pun turun renyai2 kat atas tu. Masa tu dalam otak risau tak ada hotel nak bermalam sebab ni kes main redah je. Tawakal ajelah dan berharap ada je bilik kosong sebab kat atas tu banyak hotel.

 Banyak juga kereta masih nak naik ke atas dah petang2 macam ni. 

Ada kerja membaiki jalan akibat tanah runtuh.

Kami sampai kat Brinchang dah malam. Terus singgah pasar malam dulu. Kebetulan kami pergi hari Sabtu, ada pasar malam. So dapatlah beli makan untuk alas perut malam tu. Mmm...memang tak sedap mana la tapi asal dapat isi perut sudahla. 

Dengan hujan renyai2 macam tu, waktu malam memang sejuk giler dan aku tak bawa sweater. Rasa macam duduk dalam aircond. Hotel tak cari lagi, sempoi betul!

Dah habis pusing pasar malam, dapatlah nasi lemak ayam goreng, kuey teow grg dan strawberi barulah mula misi mencari hotel pulak.

Dekat area situ pun ada juga hotel tapi En. Mat Naat bawa ke area KFC Brinchang tu sebab member dia pun stay dekat2 situ. Mula2 nak ambil hotel murah yang dekat dengan member dia tu tapi tengok rupa macam spooky je so kami proceed ke tempat lain tapi masih area situ, kat depan food court. 

Tanya 2-3 hotel, dapatlah satu hotel hujung sekali dengan harga yang ok sket...RM120/malam. Oklah, walaupun bagi aku agak mahal juga sebab malam ni check-in dah pukul 10 mlm, esok pukul 12 tghr kami dah nak check-out. Tapi disebabkan hotel tu nampak bersih dan baru so, kira settle la. Aku pun dah tak mampu nak jalan lagi sebab sejuk kot! En. Mat Naat dok je dalam kereta sebab tak ada parking. Ok, situ parking memang susah. Susah giler kot! Nasib baiklah dia dapat juga parking bila aku dah dapat hotel so bolehlah kami terus check-in.

Naik aje ke bilik, buka bungkusan makanan...sejuk geding! Apa nak buat, makan ajelah ayam sejuk macam baru bawa keluar peti sejuk tu. Perut dah laparkan.

Nak tengok hotel dan bilik kami?

 Ni lah hotel yang kami duduk...Parkland Hotel. Dulu hotel ni nama lain, tapi dah tukar management atau dah renovate aku tak sure. Hotel ni kat area rumah2 kedai kat depan food court Brinchang tu. Jalan hujung sekali jumpalah hotel ni.

 Inilah dia food courtnya. Kat sini ada jual macam2 makanan so tak risau dah nak cari makan. Kami bersarapan kat food court ni juga tapi bukan belah depan ni, kat belah belakang pun ada gerai lagi dan roti canai dia is sedapppss...En. Mat Naat order 2x roti canai sebab tak cukup...:D

Ni kejadian masa sarapan...memang sejuk. Waktu tu dah pukul 8 pagi. Mulut Afif keluar asap bila bercakap. Tu gerai roti canai yang sedap tu, Betul2 tepi lorong antara gerai di bahagian depan dengan gerai bahagian belakang. Aku tak ingat nama gerai tu. Aku sampai tapau roti canai tu sebelum balik KL dan berhenti makan kat RnR...ehehehe.

 Ni pemandangan dari gerai roti canai tu...boleh nampak ada sebuah sekolah cina kat situ. 

Motif ambik gambar ni sebab nak tunjuk cuaca berkabus tu...best ooo! Untung dapat datang masa musim sejuk ni, tak sempat nak rasa berpeluh pun. Tiba-tiba rasa nak tinggal kat CH terus.

 Bilik kami...ada 2 katil single. RM120/malam. Bilik sempit tapi untuk 3-4 orang muat la.

 Ada disediakan towel tapi tak ada keetle, aircond, peti sejuk semua tu sebab memang dah sejuk.

 Bilik air memang cantik tapi pintu tak ada lock...aptb! Kenalah aku berhati2 masa nak mandi dan suruh En. Mat Naat jaga Afif sebab dia suka mengusik dan saja2 bukak pintu tu.

Pemandangan dari tingkap bilik kami.

 Cantikkan scenery kat belakang tu? Ni kat BOH Tea Centre.

 Suka betul buat muka gedik.


 Masa ni dah petang tapi sejuk dan nyaman...sukanya!

 Subhanallah! Cantiknya...

 Tourist memang ramai.

Aku suka betul tempat yang ada pemandangan2 macam ni...aku terasa tenang je.


En. Mat Naat sempatlah bergambar bersama member2nya.

Sebenarnya banyak lagi gambar masa kat CH ni tapi nantilah bersambung Episod ke-2 pulak. Sampai sini saja kisah jalan2 untuk kali ni.

Sekian! 








FELDA RESIDENCE HOT SPRING, SG. KLAH, SUNGKAI PERAK

Tu diaaa....tajuk ja dah panjang berjela. Aku saja nak bagi orang senang...kalau orang gugel, senang depa nak dapat info. Felda Residence ni kat mana? Sg. Klah tu kat mana? Sungkai tu kat mana pulak? 

Bukan apa, seminggu dua ni aku gigih gugel tempat2 menarik untuk percutian tapi mostly info tak lengkap. Sakit pulak hati kiter! Bila ada nama hotel, tak ada pulak kat mana lokasi hotel. Dah satu kerja lagi aku nak gugel lokasi. Dah dapat lokasi tak ada pulak gambaran sekitar hotel. Aku sekali lagi kena gugel image hotel. Dah ada imej hotel tak ada pula gambar dalam bilik hotel. Aku ni kalau nak pi bercuti sukakan tempat yang bersih dan kemas baru feeling bercuti tu ada. Kalau takat nak pi duduk hotel yang bilik ayaq berkarat, baik aku duduk rumah.

Sebenarnya percutian kami ke FRHS ni dah lama...hujung bulan 4 hari tu kot tapi biasalah, mood nak bercerita tu tak ada so peram la gambar2 semua sampai berkulat baru nak upload. 

Aku, En. Mat Naat & Afif ke FRHS ni bersempena hari keluarga opis En. Mat Naat. Mula2 dengar nama FELDA, aku macam...what?? Family Day kat felda? Syok ke? Menarik ke? Mesti hutan lebat kat situ....eiiii!

Memang dalam hati tak nak ikut pun En. Mat Naat pergi tapi disebabkan tahun lepas dia ajak, aku dah tolak so tahun ni aku pasrahlah.

Korang nak dengar aku membebel ke nak layan gambar?

Kita layan gambar dululah ek!

 
 Ni masa baru masuk kereta nak bertolak. Ada budak tu tayang baju Family Day.

Ni dah sampai ke FRHS. Kat lobi tengah gantung banner. Ada budak tu kena jadi model kat situ. Perjalanan dari rumah aku kat PJ ke FRHS ni taklah jauh sangat, dalam 2-3 jam boleh sampai. Simpang nak masuk ke FRHS ni sikit tersorok so kalau korang dah dekat2 nak sampai tu better slow dan tgk signboard betul2 sebab kitaorang hari tu pun terlajak. Jalan nak masuk ke FRHS ni ada kedai2 makan kat depan jalan. Aku is lupa nak snap gambar kat simpang masuk tu. Sori!

 Sementara tunggu nak masuk bilik, Afif layan ikan2 kat dalam kolam tu dulu.


 Tadaaa...dah dapat bilik. Aku tak tahu apa nama bilik ni sebab orang bagi, so aku just cuci kaki dan masuk je. Tapi bilik memang luas, ada 2 katil single. Kat depan katil tu lapang lagi so kalau datang 8 orang pun boleh muat, bentang je toto kat bawah tu ;) Bilik ada aircond, peti sejuk, towel, sabun & shampoo, water heater, air mineral,nescafe/teh & air panas pun ada. 


Bilik air ada bathtub dan shower. Bilik air pun ok...bersih.

 Kat pintu masuk ada almari untuk sangkut baju & extra pillows.


Ada budak seronok dapat duduk hotel :)


Abaikan makhluk merah tu...kena cencored sebab cekci sgt. Baru sampai dah terlentang macam penat sangat. Ni lah katilnya...2 katil single. Ok la, boleh muat 3-4 orang kot atas katil ni.

 Ni la gambar biliknya dari luar. Pemandangan cantik dan taklah berhutan lebat sangat macam sangkaan aku.


Ada 2 tingkat.


Sekitar kawasan.

Ini adalah lobinya.


Ada Spa Villa...bilik villa ni ada private kolam jakuzi tau.

Ini pula cafenya. Kami makan kat sini je, dah termasuk pakej bufet. 


 Banyak pokok kelapa sawit.


Agak tenang dan mendamaikan juga.



Budak ni tak mandi lagi tapi dah kena paksa pergi sarapan.


Muka kena paksa makan. Makan tak habis pun. Kafe ni agak banyak lalat masa kami ke situ. Dan aku pun ada jumpa rambut dalam mangkuk sup, so better berhati2 la :)

 Antara hidangan bufet yang ada untuk sarapan...standard la. Banyak juga pilihan dan bolehlah daripada tak ada...:D

Lepas makan terus layan tidur. Tidur betul rupanya...aptb!


Eh, mama pun menyelit gak kat situ??


 Dah makan, apalagi....ke theme park la kita! Ada budak tak sabar dah nak rasmikan pistol airnya.


 Theme Park taklah besar sangat. Kalau ramai orang tempat ni memang padat dan aku is geli nak masuk dalam air tu. Kat tepi2 tempat aku landing tu pun ada bau hancing je. Tak tahulah siapa punya kerja.

Afif memang tak berani dengan air, so mesti abah yang kena temankan. Abah layan ye, mama jadi kameragirl je.

Sebelah tanda merah tu dalam sikit so budak2 tak digalakkan mandi kat area tu.


 Ada jual souvenir juga bagi yang nak tanda kenang-kenangan.


 Bagi yang dah tak larat nak bermain air kat theme park macam aku ni, boleh je ke kolam air panas...rendam kaki memang best! Air memang panas tapi dah lama2

tu dah ok, tak terasa pun panasnya.


 Memang boleh rebus telur kat sini...bukan tipu2 punya. Tapi kat batu tu ajelah satu2nya tempat yang telur boleh direbus. Airnya menggelegak tu. 


Telur yang dibawa dari rumah tak boleh dibawa masuk sebab ada je dijual telur kat dalam ni cuma, mahal sikitlah. Tak silap aku 6 biji RM5 kot. Tapi kalau nak seludup2, bergantung pada nasiblah sebab masa aku masuk ni tak ada yang jaga pun.

 Ada juga dewan dan bolehlah buat family activities dan dinner kat sini.

Dewan luas, jangan risau!

 Yang penting kat sini pun ada padang dan agak luas. Bagi yang nak anjurkan Family Day ke sini memang sesuai sangatlah.


Kami puas hati di sini dan kalau ada rezeki boleh bawa orang2 tua kami ke sini untuk rendam kaki kat kolam air panas tu.

Sekian!

  

CORETAN YANG LALU

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...