Iklan

Thursday, 24 December 2015

AL-FATIHAH...PEMERGIANMU DITANGISI

Arwah Baba tersayang...Abidin Bin Ariffin
5/12/1951 - 24/12/2015




Seorang Baba yang baik penuh dengan jenaka & suka bergurau.



Seorang Baba & atok yang amat menyayangi anak-anak & cucu-cucunya.

Tahun 2014 di Majlis Penyampaian Hadiah Afif

Tahun 2015 di Majlis Penyampaian Hadiah Afif. Sebulan lebih sebelum arwah meninggalkan kami.



Seorang atok yang amat melindungi cucu-cucunya.

Inilah gambar raya terakhir arwah pada 2015. 


Percutian sekeluarga Di Johor 2014.
Kami amat merinduimu Baba. 

20/12/2015 (AHAD) Kita sekeluarga sama-sama bertolak ke Melaka untuk percutian sekeluarga. Baba orang yang paling excited nak buat percutian ni. Plan pun last minit tapi Alhamdulillah menjadi. Penginapan pun ada walaupun waktu2 cuti persekolahan ni kebanyakan tempat memang packed. Anak2 & cucu semua pun ikut. Tak ada halangan langsung dari segi kerja atau apa. Semua lancar je.

22/12/2015 (SELASA) Hari terakhir aku jumpa Baba. Aku tak tahu bahawa itu merupakan hari terakhir aku akan menatap wajah dia. Aku tak tahu bahawa itu hari terakhir aku dapat menyentuh tubuhnya yang masih bermaya...aku tak tahu! aku tak tahu! Kalau aku tahu, aku akan menghabiskan masa seharian suntuk bersama dia, berbual, tenung wajah dia, genggam erat tangan dia tapi...aku tak tahu! Dalam pukul 4 ptg dari Melaka selepas kecewa tak dapat menjamu Baba & Mama asam pedas, kami berpisah menuju ke haluan masing2. Baba terus balik ke KL bersama dengan Mama & adik aku. Aku tak salam pun tangan Baba sebab aku yakin kami akan berjumpa lagi di KL. Sekali lagi, aku tak tahu yang itulah hari terakhir aku boleh salam tangan dia dalam keadaan dia masih bermaya. 

23/12/2015 (RABU) Lepas solat Asar di masjid di Sg.Buloh selepas buat rawatan gigi, aku dapat panggilan dari Along. Waktu tu lebih kurang pukul 5 ptg. Baba hilang tak dapat dikesan katanya. Aku cuba untuk tak panik. Aku cuba fikir positif. Along kata Mama dan semua orang cuba hubungi Baba tapi Baba tak angkat. Berkali-kali tapi tak diangkat. Aku minta Along tunggu sampai malam sikit. Mungkin Baba tak dengar bunyi telefon, mungkin Baba silence kan telefon, mungkin telefon Baba hilang...aku cuba sedapkan hati Along dan hati sendiri juga. Lepas letak telefon fikiran aku turut tak lepas dari berfikir apa yang terjadi kat Baba. Aku cuba telefon pula. Memang betul, ada nada dering tapi panggilan tak berjawab. 2 kali aku cuba tetap sama. Aku mula rasa lain sebab aku teringat waktu solat Asar tadi memang aku tak sedap hati. Aku tak pernah rasa macam tu. Seolah-olah ada benda yang mengganggu fikiran & hati aku waktu tu tapi aku tak tahu apa. Aku tak tahu apa yang aku patut fikirkan waktu tu.

Aku, suami & Afif bercadang singgah makan di sekitar situ bagi meraikan harijadi Afif yang tak sempat kami raikan. Selepas solat Maghrib, adik aku call kata orang jumpa Baba pengsan. Aku bersyukur Baba dah dijumpai tapi aku tak tahu macamana keadaan pengsan yang dimaksudkan tu. Adik2 aku dalam perjalanan untuk ambil Baba. Telefon tak lepas dari tangan aku dah waktu tu. Adik aku call lagi katanya ambulance dah bawa Baba ke Hospital Kuala Lumpur. Baba dimasukkan ke Zon Kritikal Kecemasan. Dengar perkataan Zon Kritikal, aku amat risau. Macamana sebenarnya keadaan baba? Teruk sangatkah? Aku minta suami terus ke sana. Aku orang yang pertama sampai ke bahagian kecemasan Zon Kritikal tu. Aku tengok di kaunter sebelum masuk wad ada IC Baba. Aku tanya kerani kat mana Baba? Kerani tanya hubungan aku dengan Baba sebelum serahkan IC & borang untuk diserahkan ke bahagian dalam. Aku masuk dalam wad kecemasan tu dan terus ke kaunter. Aku serahkan borang dan tanya kat mana Baba sekali lagi. Nurse tunjuk ke arah kanan aku. Bila aku toleh tengok...Ya Allah! Ya Allah! Hancur hati aku waktu tu. Bagai tersiat-siat melihat keadaan Baba. Kalau boleh aku nak Nurse tu silap orang tapi tak...tu memang Baba.

Keadaan Baba sangat kritikal. Aku berjalan menghampiri Baba. Waktu tu aku pun dah terlupa kat mana Afif dan suami aku. Yang aku nampak cuma Baba je. Baba terbaring atas katil besi tu cuma berselimut. Kaki Baba sejuk sangat. Kesian Baba. Aku urut2 kaki Baba, Baba dah tak boleh bergerak. Baba dah tak boleh bercakap. Baba koma! Kalau sejuk pun Baba tak dapat bagitahu. Banyak wayar dipasang kat badan Baba. Banyak juga salur pernafasan dimasukkan ke dalam mulut Baba. Kepala Baba mendongak sukar bernafas. Ya Allah! Kesiannya Baba. Mesti Baba sakit. Dada Baba berombak kencang. Nafas Baba turun naik dengan kuat. Tak dapat aku nak gambarkan macamana keadaan Baba waktu tu tapi memang keadaan dia sangat nazak. Aku tak pernah tengok Baba sakit...tak pernah! Sekali aku tengok, Baba terus kritikal macam ni. Hancur sangat hati aku. Anak apalah aku ni membiarkan Baba sakit seorang diri? Anak apalah aku ni sampaikan aku tak mampu tolong dan buat apa2. Baba jaga aku adik beradik sampai kami besar panjang, tapi kami tak mampu nak jaga Baba seorang sampai Baba jadi macam ni.

Doktor dah bagi penjelasan pada aku tentang Baba. Mereka suspek Baba mengalami Hypertension. Tekanan darah yang terlalu tinggi menyebabkan salur darah kat otak Baba pecah dan Baba mengalami pendarahan otak. Doktor kata waktu sampai, tekanan darah Baba 200 lebih...sangat tinggi. Doktor tanya sejarah penyakit Baba. Aku kata Baba tak sakit apa. Baba memang seorang yang sihat, demam pun jarang tapi kalau sakit pun biasanya dia tak bagitahu sesiapa. Aku buat keputusan untuk telefon Along. Aku minta Along balik dari Johor walaupun sebelum ni aku larang dia balik sebab kami pun baru je balik dari bercuti di Melaka tu. Adik aku yang berada di Penang untuk satu kenduri pun bergegas balik semula ke KL. Alhamdulillah semua anak2 Baba berkumpul. Baba mesti gembira anak2 dia semua ada sebab dia memang suka kalau kami semua dapat berkumpul bersama, dia yang akan riuhkan suasana, dia yang akan mengusik,

Kami berkumpul di hospital menunggu keputusan CT Scan kepala Baba. Sementara tu aku akan curi kesempatan yang ada untuk melihat Baba dari jauh. Bila aku dibenarkan masuk ke wad, aku pergi kat Baba. Aku usap kaki dia, aku usap tangan dia. Kaku! Tak ada tindak balas langsung. Doktor yang bertugas datang kat aku. Dia soal aku serba sedikit pasal Baba. Kemudian dia terangkan kat aku yang pendarahan kat kepala Baba agak besar dan agak merbahaya jugak kalau nak buat operation. Kalau nak buat operation, possibility untuk survive sangat tipis & mungkin akan meninggal di dalam bilik bedah. Kalau tak bedah, keadaan Baba akan macam itu sahaja...koma! Doktor suruh doa banyak2. Perasaan aku hancur luluh waktu tu. Kalau boleh aku berharap semua ni mimpi je atau lakonan & drama semata2. Sebelum ni aku cuma tengok benda2 ni jadi dalam drama, tapi bila jadi pada diri aku sendiri baru aku sedar bukan mudah nak dengar berita macam tu dari mulut seorang doktor. Tapi aku cuba berfikiran positif sekali lagi. Doktor bukan Tuhan. Nyawa seseorang bukan di tangan Doktor. Kalau Allah kata jadi maka terjadilah so segala kemungkinan masih ada. Bila doktor pergi, aku cuba kuat. Aku tak nak menangis. Tapi bila aku rapat ke kepala Baba, aku cium dahi dia. Rasanya itulah pertama kali aku dapat cium dahi dia sejak aku dewasa. Aku rapat ke telinga dia. Aku minta maaf dari dia. Aku cakap yang aku sayangkan dia dan airmata aku tumpah laju, tak dapat aku nak tahan.

Keluar dari wad, aku pergi kat suami. Aku buat macam tak ada apa2 tapi bila aku bagitahu suami yang doktor kata dah tak ada harapan, kolam airmata ni berderai lagi. Suami tarik kepala aku ke bahu dia. Aku menangis sepuas2. Tak ada harapan bukanlah ayat yang aku nak dengar. Bayangkan baru semalam kami bersama, Baba sihat boleh bercakap boleh berjalan boleh ketawa, hari ni tiba2 dia koma, tak bergerak tak berbunyi apa pun. Mata pun tak bukak untuk pandang kami. Aku tak putus2 berdoa dalam hati agar Allah bagi peluang lagi untuk Baba...aku nak jaga Baba. Aku nak jaga dia dengan baik macamana dia jaga kami adik beradik sejak dari kami kecik. Tak pernah menolak apa saja permintaan kami. Tak pernah berkira tentang duit dengan anak-anak. Susah ke senang ke yang penting anak-anak mesti selesa dan dapat apa anak-anak perlukan...itulah Baba. Banyak benda lagi yang aku nak buat untuk Baba tapi tak kesampaian. Maafkan Nanie, Baba.

24/12/2015 (KHAMIS) Baba dah dimasukkan ke wad di Bahagian Neurologi. Keadaan Baba masih sama, tak ada sebarang respon. Kami semua sampai lewat sikit. Adik bongsu aku kata doktor pakar dah melawat pagi tadi dan dah bagitahu Nurse apa yang sepatutnya. Bila adik lelaki aku kata yang Nurse bagitahu Baba dah tak ada harapan, dia menangis. Aku yang dah tahu tentang tu dari semalam pun turut menangis. Kami semua menangis di sisi Baba. Ramai yang mengelilingi katil Baba waktu tu. Adik2 Baba yang jauh dari utara pun datang. Adik2 ipar, anak2 buah, menantu, kawan2 semua ada. Bacaan Yaasin tak putus2 dari sorang2. Aku dah kisah kalau orang tengok aku menangis. Tisu memang lencun dengan air mata. Mama dari tadi di tepi kepala Baba sambil buka bacaan ayat2 Al-Quran dari telefon ke telinga Baba.

Tiba Zohor, kami solat di masjid HKL. Lepas solat aku menangis menadah tangan berdoa agar ada sedikit sinar untuk kami sekeluarga. Perut yang belum diisi pun tak terasa laparnya. Selesai solat kami bergegas ke wad balik. Aku tak lepas dari sisi Baba. Tangan dia aku genggam. Walaupun tak ada tanda Baba nak sedar tapi kami setia kat situ. Lepas solat Asar, adik bongsu aku panggil kami adik beradik untuk berbincang. Katanya Baba memang dah tak ada harapan jadi dia nak buat keputusan bawa Baba balik rumah dan 'lepaskan' Baba di rumah sebab doktor kata kalau cabut alat bantuan pernafasan, mungkin Baba akan pergi sebab Baba dah tak boleh bernafas dengan sendiri maksudnya Baba hanya bergantung dengan alat bantuan pernafasan tu. Kalau nak biarkan Baba kat hospital pun tak tahu sampai bila, mungkin akan menyeksa Baba. Lagipun hari ni hari yang baik, sempena Maulud Nabi, malam Jumaat eloklah Baba dilepaskan pada hari yang baik ni. Serius aku tak tahu nak kata ok atau tidak. Aku buntu! Kenapa aku cuma ada 2 pilihan ni saja yang mana 2-2 tak mampu aku terima.

Akhirnya kami bawa Baba balik. Aku redha. Aku fikirkan yang terbaik untuk Baba. Kalau bukan ajal Baba lagi, bila dicabut alat bantuan pernafasan tu pun mungkin Baba masih ada tapi kalau memang hari ini ajal Baba, maka aku redha Baba pergi dengan tenang walaupun hati masih tak percaya yang semua ni berlaku pada kami. 

Ambulance yang bawa Baba sampai dulu dari aku. Nasib baik aku sempat sampai sebab bila aku masuk je dalam rumah, Baba dah dibaringkan di atas tilam. Afif dan anak buah aku menangis dengan kuat kat sisi Baba sambil panggil 'Atok! Atok!'. Pembantu2 perubatan tu pula tengah sibuk mencabut drip dari tangan Baba. Kemudian bila tiba saat nak cabut alat bantuan pernafasan dari mulut Baba, dia ingatkan bagi siapa yang tak berani tengok supaya jangan tengok. Aku bukan tak berani nak tengok tapi aku tak sampai hati nak tengok jadi aku tak tengok. Bila dah cabut, mereka cuba periksa nadi Baba...malangnya, Baba dah tak ada...................................... Minta maaf abang, katanya pada abang ipar aku. Kami adik beradik menangis lagi. 2 orang adik lelaki aku jugak menangis. Afif datang sebelah aku dan panggil 'Atok! Atok!' sambil menangis. Aku tarik dia, aku peluk dia dan kata kat dia "Atok dah takde". Aku tengok muka Baba puas2, aku cium dahi dia. Baba pergi juga tinggalkan kami. Baba tak sempat nak tengok anak2 Along bersekolah di KL. Along yang sebelum ni duduk di Johor dah dapat bertukar ke KL. Baba la orang yang paling gembira sebab katanya dia nak pimpin tangan cucu berjalan bawak pergi sekolah pagi2. Memang itulah yang dia nak sangat buat bila Along dapat pindah duduk KL tahun depan. Tak kesampaian hajat dia.

Baba tak dapat dikebumikan malam ni. Esok pagi baru urusan pengebumian boleh dibuat. Malam tu aku & adik perempuan aku, kami tidur di sebelah baba. Aku tak nak lepaskan walau sesaat waktu yang ada untuk berada di sisi Baba buat kali terakhir. Kalau boleh aku nak waktu lambat berlalu supaya aku masih ada masa nak tengok muka Baba lagi, nak sentuh & pegang Baba lagi.

25/12/2015 (JUMAAT) Harinya sudah tiba...Baba akan meninggalkan rumah ini, buat selama2nya. Pukul 8 lebih, jenazah Baba dibawa pergi dengan van jenazah. Sebak rasa hati ini melepaskan Baba pergi. Aku dah tak akan berjumpa lagi dengan Baba. Boleh ke aku??  

Kami anak2 & menantu2, Mama, adik2 lelaki Baba semua masuk ke bilik mandi mayat tapi kami anak perempuan tak dibenarkan mandikan mayat sebab terlalu ramai cuma waktu ambilkan wudhu' nanti kami diberi peluang. Waktu orang mandikan Baba, aku hanya tenung wajah Baba puas2. Wajah Baba tenang dan tersenyum. Mungkin Baba dah nampak keindahan alam sana. Kulit Baba mencerah & bersih saja. Along yang bantu ambilkan wudhu' untuk Baba. Aku biarkan Along buat sehingga habis sambil aku berdiri di kepala Baba dan melihat wajahnya dah cukup buat aku. Aku tak nak wajah itu terhapus dari ingatan aku. Aku nak ingat wajah tu sampai bila2. Aku diam perhati sampailah Baba dikafankan. Aku cuba tabahkan hati bahawa perlahan2 nanti aku tak akan dapat nak tengok Baba lagi. Bila hanya tinggal wajah Baba yang dibuka, masing2 diberi peluang untuk mengucup Baba buat kali yang terakhir. Aku tak tahu ni kali ke berapa aku cium dahi Baba tapi aku cium lagi dan aku cium kedua pipi dia juga...Ya Allah! Lepas ni aku dah tak ada peluang nak cium Baba lagi. Aku sempat bisikkan kat telinga Baba, aku minta maaf. Aku minta maaf sebab aku tak mampu nak jaga Baba. Aku minta maaf sebab aku tak dapat buat apa2 sewaktu Baba sakit.

Dalam Pukul 10 pagi solat jenazah dibuat. Memang ramai yang datang dan ada yang muka aku tak kenal pun. Selesai solat, jenazah diusung ke Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan. Mungkin sebab dah banyak sangat menangis, kami dah tak menangis bila Baba dikebumikan. Mungkin itu juga yang Baba nak. Segala urusan Alhamdulillah senang dan cepat. Sebelum pukul 12 tghr semua dah selesai. Kat kubur tadi pun penuh, memang ramai sangat yang menghantar arwah. Selepas Solat Jumaat pun bila Imam umumkan nak adakan tahlil buat arwah, ramai tak berganjak balik. Masjid penuh, itu yang diceritakan kepada aku. Maha Suci Allah! Sebelum ni arwah selalu mengajak orang ke masjid (arwah ayah saya Bilal Masjid), Allah balas pengorbanan arwah dengan ramai2 mendoakan dia. Syukur sangat.





Antara tanda2 terakhir arwah yang aku perasan tapi tak sedar yang itu merupakan tanda terakhir:

1. Teringat sampai sekarang jawapan Baba pada hari terakhir kami di Melaka bila aku cakap kat dia, tahun depan kita sekeluarga pergi pulau pulak. Arwah balas "Insyaallah, kalau panjang umur." Aku macam terasa lain dengan jawapan arwah. Sebab arwah Baba aku ni bukan orang yang serius, kalau kita bercakap dengan dia atau tanya apa2 kat dia, jawapan dia biasanya mesti diselitkan dengan gurauan tapi kali ni jawapan dia sangat serius & padu, macam dia dah tahu yang umurnya tak panjang. 

2. Sepanjang kat Melaka baju2 dia kebanyakan warna putih. Baju masa bertolak ke Melaka warna putih. Baju masa jalan2 di Melaka hari ke-2 warna putih. Baju masa hari bertolak balik ke KL pun warna putih. Adik aku kata baju yang dia pakai masa hari dia pengsan tu pun warna putih.

3. Masa nak bercuti ke Melaka dia yang beria-ia nak pergi bercuti tapi masa hari terakhir kat sana dia tak sabar2 nak balik KL sampai kami cadang nak singgah lunch bersama2 dulu pun dia tak nak tapi akhirnya dia terpaksa juga ikut.

4. Kat Melaka dia banyak tidur, mungkin badan dia dah rasa lain masa tu.

5. Dia suka berjalan sorang2 dan duduk sorang2.

           







CORETAN YANG LALU

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...